ITTIBA’ DENGAN SUNNAH BUKAN DENGAN BID’AH

Tidaklah Kami mengutusmu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam
[Surah Al-Anbiya’: 107]


Ayat rahmat yang sangat agung ini telah menjelaskan kepada manusia beberapa hal bahawa:
·         Allah Azza wa Jalla telah mengutus hamba-Nya dan Rasul-Nya yang mulia Muhammad ﷺ untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam yang terdiri dari kelompok-kelompok mahluk seperti alam manusia, alam Malaikat, alam Jin, alam haiwan. Rasulullah ﷺ diutus sebagai rahmat bagi mereka semua.
·         Nabi Muhammad ﷺ telah diciptakan dan disifatkan serta dihiasi pada diri beliau dengan rahmat.
·         Agama yang beliau bawa semua ajarannya adalah rahmat bagi jin dan manusia yang terkena taklif (beban) dari Rabbul ‘alamin.
·         Nabi Muhammad ﷺ diutus dan datang kepada manusia dan jin dengan segala kebaikan dunia dan akhirat.
·         Al-Qur’an yang diturunkan kepada beliau ﷺ menjadi rahmat terbesar bagi mereka.

Walau bagaimanapun, lahir dan diutusnya Rasulullah ﷺ dengan bermacam kemuliaan tidaklah bermaksud kita boleh mengagungkan beliau dengan berlebihan apatah lagi hingga menyerupai suatu kaum. Seperti yang pernah berlaku sebelum ini di mana artifak tapak kaki Nabi ﷺ yang tak diketahui lagi kesahihannya namun ramai yang mengagung-agungkannya sehingga berlebih-lebihan mengambil tabarruk daripadanya dengan mencium dan menjunjung artifak yang dikatakan tapak kaki baginda ﷺ tersebut. Sama seperti yang berlaku di sebuah tempat di mana orang ramai bertabarruk di maqam yang dianggap mulia. Padahal mereka sudah mengetahui maqam tersebut hanyalah replika semata. Jika sudah diketahui ianya hanyalah replika, apakah beza mereka dengan orang yang menyembah dan meminta kepada berhala?

Sebab itu jugalah, makam Rasulullah ﷺ di Masjid Nabawi, Madinah terpaksa dipagar dan dikawal oleh tentera Arab Saudi. Ia bagi mengelak perbuatan sebahagian orang Islam yang keterlaluan memeluk, meratap makam baginda untuk mengambil berkat.

Dalam mana kita mengasihi dan mencintai Rasulullah ﷺ, perkara yang lebih utama adalah mengikut bagaimana para sahabat dan salafussoleh menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah ﷺ. Menzahirkan rasa cinta dengan cara mengikut sunnah nabi adalah tuntutan utama berbanding dengan hanya menyatakan sahaja kecintaan.

Antara bentuknya adalah berselawat ke atas Nabi ﷺ, mempertahankan baginda ﷺ, mempelajari sunnah baginda ﷺ, mencontohi akhlak dan perilaku Nabi ﷺ, memuliakan hadis Rasulullah ﷺ, mencintai keluarga Rasulullah ﷺ, menyebarkan sunnahnya, berhukum dengan sunnahnya dan menjadikan baginda ﷺ sebagai panduan dan contoh suri teladan dalam kehidupan.

“Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
[Surah Ali Imran : 31



Comments