Cerpen: Lukisan Potret Terakhir (Part 1)



Kakinya mula dijejakkan di tanah orang dengan bermacam rasa yang ada di dalam hatinya. Diminta oleh ayahnya agar merantau menggali sebanyak mana ilmu agama yang boleh dia bawa pulang meskipun menuntut ilmu agama adalah satu keterpaksaan dalam hidupnya. Tak pernah dia terfikir untuk menjadi orang yang sering dipanggil alim, warak yang sudah semestinya itu adalah karakter seorang ustaz biasanya. Selama 5 tahun dihantar oleh orang tuanya untuk belajar di sekolah agama, dipaksa pula dia melanjutkan pelajaran di bidang agama setelah gagal menipu orang tuanya semata-mata ingin melanjutkan pelajaran di bidang kemahiran yang sudah lama dia impikan. Namun takdirnya tetap saja menjadi seorang penuntut ilmu agama sebagaimana yang dimahukan oleh ayahnya.

          Setelah berjaya menamatkan pelajaran selama tiga tahun, ayahnya tetap masih menginginkan dia belajar lagi. Berbeza dengan sebelumnya yang mana dia merasa resah setiap kali ayahnya berbicara soal pelajarannya kerana tahu pasti dia disuruh untuk mengambil bidang agama. Sekarang, sudah tak ada lagi kata terpaksa dalam hidupnya untuk menuntut ilmu agama. Oleh kerana itu, dia sendiri yang memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Tanah Jawa.

          Hari pertama kuliah dia sudah lewat masuk kelas. Disebabkan sikapnya yang dari dulu tak suka berurusan di mana-mana pejabat akhirnya dia ketinggalan untuk mendapatkan informasi tentang kelas termasuklah jadual kelas. Kelas di ruang mana pun dia tak tahu. Mujurlah dalam kelasnya dia tak sendirian sebagai orang asing di tanah orang. Ada empat orang lagi perantau sepertinya datang dengan tujuan yang sama. Dua lelaki dan dua perempuan. Lelakinya sudah dia kenal kerana sama-sama dalam satu penerbangan dari Negeri di Bawah Bayu ke Tanah Jawa. Fitri orangnya yang agak kurus dan Ihsan berbadan agak berisi berkacamata dan kebetulan Ihsan sebelumnya bersekolah di sekolah yang sama dengannya.

          Dalam keadaan kelam-kabut dia bergegas bersiap untuk ke kelas. Dengan seluar lusuh dan baju kemeja putih yang kusut kemudian dilapis pula dengan baju tebal lengan panjang berwarna hijau tua agar tak terlihat kusutnya. Dia berjalan agak laju dan sedikit berlari sehinggalah sampai di depan kelas yang telah diberitahu oleh Ihsan kepadanya setelah beberapa lama kebingungan mencari kelasnya di bangunan yang mana dan tingkat berapa. Dia masuk perlahan dan menuju ke tempat duduk paling belakang di mana Fitri dan Ihsan juga ada di situ. Mereka kemudiannya berbual sementara menunggu lecturer datang.
            
          Dia melihat dan memerhati suasana di dalam kelas. Macam-macam ragam pelajar yang dilihatnya. Mulai dari cara tutur bicara, tingkah laku sehinggalah penampilan cara mereka berpakaian yang mendorong dia membuat penilaian awal tentang orang-orang di dalam kelas tersebut yang bakal menjadi kawannya tak lama lagi. Sesekali dia menggelengkan kepala mungkin ada yang tak berkenan dari apa yang dia lihat dan kemudian menunduk lama.

********


Comments