ERAT HUBUNGAN SAUDARA, RENGGANG HUBUNGAN ANTARA YANG MAHA PENCIPTA

Setelah sebulan berpuasa umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang bulan Ramadhan. Hampir seluruh umat Islam tidak mahu ketinggalan untuk merasakan meriahnya Syawal malah ada yang sudah membuat persiapan awal di bulan Ramadhan lagi. Bahang Aidilfitri juga masih terasa meskipun sudah setengah bulan kita berada di bulan Syawal.

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ

Ertinya: “Katakanlah: “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus: 58)

Inilah masanya untuk kita bergembira dan tidak dihalang sama sekali untuk menyambut hari besar ini kerana ia sememangnya dianjurkan namun harus difahami caranya agar dalam melaksanakannya tidak tergelincir dari landasan dan ketetapan Islam. Selesai melaksanakan sholat sunat Aidilfitri maka sibuklah ramai orang setelah itu dengan menziarahi pusara, memasak juadah yang bermacam-macam dan banyak lagi kegiatan lainnya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Dan yang sudah semestinya menjadi amalan kita adalah berkunjung ke rumah saudara-mara, rakan-rakan dan lainnya. Namun dalam berziarah atau berkunjung dari rumah ke rumah, ada hal yang sangat tidak dititikberatkan oleh kita iaitu waktu sholat. 

Amat sayang sekali apabila kita berziarah ke rumah saudara-mara dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama kita tapi mengabaikan pula hubungan kepada Yang Maha Pencipta. Apalah makna Hari Raya Aidilfitri yang dianggap sebagai tanda kemenangan kita tapi hakikatnya kita sudah tumpas di raya pertama. Sholat yang sepatutnya menjadi penghapus dosa diabaikan begitu saja kerana beranggapan masih banyak masa untuk melaksanakannya sementara Hari Raya Aidilfitri cuma setahun sekali saja kita dapat merayakannya.

Jika Subuh tertinggal kerana bangunnya di tengah hari buta, Dzuhur hingga Isya’ pula sengaja ditinggal hanya kerana beraya. Sedangkan tempoh satu sholat fardhu bukanlah lama jika dibandingkan dengan lamanya kita berbual tak putus-putus kata. Yang datang beraya tidak mengira waktu bertandang padahal azan jelas sekali didengar sedang berkumandang. Disebabkan kunjungan yang tak sudah-sudah mengganggu pula waktu orang lain beribadah.

Kenapa hal ini tetap saja berulang setiap tahun menjelang Aidilfitri biarpun kita sudah sebulan berada di madrasah Ramadhan. Di dalam khutbah juga khatib memberikan peringatan kepada kita akan adab dan syariat di dalam kita merayakan Aidilftri namun masih juga terjadinya bermaacam-macam perlanggaran lainnya. Ini disebabkan gagalnya kita memasukkan nilai tauhid dalam setiap perkara meskipun itu kita anggap sebagai hal yang baik. Ziarah dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan saudara memang baik tapi meninggalkan perkara yang wajib tetap saja mungkar.

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Ertinya: “Tetapi boleh Jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh Jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (Surah Al-Baqarah: 216)

Gagalnya kita juga dalam memahami apa itu ibadah yang menyebabkan kita tidak dapat membezakan hal baik yang tidak menjadi ibadah dan hal baik yang menjadi ibadah. Oleh kerana itu, kita mudah sekali meninggalkan hal yang wajib ketika melakukan amalan-amalan lainnya yang kita anggap baik.


رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Ertinya: laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. (Surah An-Nur: 37)


Ibada itu adalah hal yang mendatangkan pahala dan kebaikan kepada kita dengan melakukan hal yang baik tanpa melanggar perintah-Nya agar tidaklah amalan yang kita lakukan itu menjadi sia-sia.

Comments