Cerpen: Lukisan Potret Terakhir (Part 2)




Hari ketiga kuliah dengan posisi tempat duduk yang sama masih di barisan paling belakang. Minggu pertama perkuliahan untuk semester satu adalah perkara biasa jika pensyarah banyak yang tak masuk mengajar. Jika masuk pun tak akan ada sesi belajar, cuma sesi suai kenal antara pensyarah dan mahasiswa. Adalah suatu keberuntungan bagi kebanyakan mahasiswa jika pensyarah tak masuk mengajar dan keberuntungan itu berpihak pada kelas 1C kerana pensyarah banyak yang tak masuk. Maka riuhlah kelas tersebut dengan suara saling mengenal dengan lebih dekat. Dia cuma diam tanpa banyak bicara kerana memang itulah karakternya dan lebih menumpukan matanya pada handphone. Teman senegerinya yang lain asyik berborak dan tiba-tiba….

“Erm, Azam. Kamu pun mix kan?”

Satu suara yang membuatkan dia mendongak sedikit dari tundukannya. Azam sedikit bingung dengan pertanyaan yang dilontarkan kepadanya secara tiba-tiba. Dia cuma memandang sekilas wajah yang bertanya kepadanya tadi dan kemudian mengalihkan semula pandangan ke skrin handphonenya tanpa memberikan jawapan.

“Ish dia ni, buat malu saja”

Gadis yang duduk tepat di depannya kelihatan sedikit merungut dengan sikap Azam yang tak mengendahkan pertanyaannya. Selang dalam 10 saat Azam tiba-tiba menjawab pertanyaan gadis tadi dengan nada sedikit kasar.

“Ya, saya mix. Kenapa?”
“Tiadalah, cuma nak kepastian saja sebab saya pun mix. Ibu saya orang Indonesia, bapa saya orang Malaysia. Samalah kan macam kamu”. Gadis tersebut kelihatan agak bersemangat semula untuk meneruskan pertanyaan apabila Azam memberikan jawapan walaupun agak lambat sedikit.

“Jadi kamu tak ada masalah lah kan nak faham Bahasa Indonesia? Kamu pandai cakap Bahasa Indonesia?” dia melontarkan dua pertanyaan sekaligus kali ini.

Azam hanya memberikan respon dengan kata “hmmm” dan kedua bahunya diangkat sedikit. Azam atau nama penuhnya Muhammad Azam Na’im bin Jeffry merupakan seorang pelajar yang dari sekolah rendah sangat ditekankan untuk belajar agama oleh ayahnya meskipun pada awalnya dia sangat memberontak dengan desakan tersebut. Lagi pula ayahnya bukanlah orang terpelajar malah sekolah juga tak habis, sama seperti ibunya. Makanya dia berfikir buat apa ayahnya terlalu menekan dan memaksanya untuk belajar dalam bidang agama sedangkan ayahnya bukan dari bidang agama pun, malah tak tamat sekolah. Tapi tidak sama seperti sekarang, Azam sudah sedar akan hikmah dia dihantar untuk belajar agama. Makanya sekarang dia sendiri yang memutuskan untuk melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti Islam di Tanah Jawa. Azam memang karakternya terlihat agak sombong sebelum dikenal apalagi dengan perempuan. Dia tak suka berkenalan dengan perempuan sekadar saja-saja atau tujuan kosong. Makanya tidak hairanlah jika ramai perempuan yang mengatakan dia seorang yang agak sombong. Karakternya yang banyak diam, berbicara dengan serius sehingga ramai perempuan yang takut untuk memulakan bicara denganya.

          Namun tidak bagi gadis yang menegurnya secara tiba-tiba. Malah suara rungutannya dapat didengar oleh Azam sendiri kerana pertanyaannya tidak dijawab sempurna oleh Azam. Dia adalah Nur Aqilah Maisarah binti Johari yang muda tiga tahun dari Azam. Sebelumnya juga belajar di sekolah agama. Tidak hairanlah jika dia melanjutkan pelajaran di universiti Islam kerana ibunya merupakan seorang ustazah dan kedua orang tuanya merupakan alumni di universiti yang mereka berada sekarang. Ibunya memang asal Indonesia dan ayahnya Malaysia, makanya dia ingin mendapatkan kepastian bahawa Azam juga mix sepertinya. Azam memang mix, tapi ayahnya yang asal Indonesia manakala ibunya Malaysia.

“Haishhhh! Mesti tak kena jawab setiap kali ditanya” Aqilah merungut lagi dengan respon Azam yang tak berapa memerhatikannya. Aqilah menoleh ke belakang memandang Azam dan kemudian menjeling geram apabila Azam memandangnya semula.

********

Comments