![]() |
| (Picture authentic by: Anakmalayindo photographer) |
Awal pagi hujung minggu tadi pergi ke pasar semata-mata mencari benda ni. Nilainya memang rendah, tapi ada sesuatu yang menjadikan ianya mahal.
Dulu masa kecil kami tiada gadget canggih macam sekarang. Tempat shopping paling best adalah TAMU (pasar). Peluang untuk ikut orang tua ke tamu adalah sangat tipis. Jadi sekali-sekala dibawa juga kerana kasih sayang orang tua terhadap anak-anaknya.
Setiap kali terpandang mainan yang menarik perhatian pasti kepala berputar hampir 180°. Aku terpandang begitu banyak bot kecil yang diperbuat daripada besi (kadang dibuat dari tin biskut atau tin minyak tanah) mengelilingi besen besar yang berisi air. Bapa hanya melewatinya saja.
Bila diajak pulang, hati tertanam sedikit kekecewaan kerana pulang hanya membawa buah labu, bawang, jagung dan sedikit kuih terang bulan sebagai pengubat kekecewaan tadi. Benda yang diidamkan-idamkan di pasar tadi cuma menjadi angan saja. Sampai di rumah, dipanggil semua adik-beradik untuk menyantap terang bulan tadi.
Sesudah makan tengahari sememangnya dilarang untuk bermain di luar. Cuma boleh bermain di bawah kolong rumah saja tetapi tidak boleh membuat bising. Jika tidak, lebih baik tidur saja. Di dalam lenanya tidur tiba-tiba ada suara abangku memanggil. Katanya bapa memanggil kami berdua. Dalam fikiranku, kalau tidak kerana melakukan kesalahan pasti ada kerja yang perlu dibantu. Abangku sudah berlari turun ke bawah, katanya mereka menunggu di luar kamar mandi.
Aku melangkah turun menuju ke kamar mandi yang berdindingkan zink berkarat. Aku melihat ayahku dan abangku sedang duduk mencangkung dengan sebuah besen di depan mereka berdekatan kamar mandi. Aku semakin mendekat dan melihat di dalam besen yang berisi air tersebut. Rupanya ada benda yang aku idam-idamkan sewaktu di tamu tadi. Bot kecil yang diperbuat daripada besi berwarna merah, putih dan biru sedang berlabuh di dalam besen berisi air.
Terukir senyuman di wajahku dan abangku. Begitu juga bapaku setelah melihat dua orang anak lelakinya sedang gembira.
(Kasihnya seorang bapa hampir terlupakan oleh setiap anak...)

nice shot !
ReplyDelete